Kemiskinan sering dikaitkan dengan kehidupan di kampung. Ini disebabkan
kerana sosio ekonomi di kampung yang agak jauh ketinggalan berbanding
bandar. Kebanyakan masyarakat kampung bekerja sebagai petani, penoreh
getah, nelayan, pemandu lori dan ada yang bekerja sendiri. Sudah pasti
pendapatan mereka adalah tidak seberapa jika dibandingkan dengan
masyarakat bandar. Ini kerana pendapatan masyarakat kampung amat
bergantung kepada cuaca.Sebab itu kedapatan kebanyakan gambar dan
isu-isu yang dipaparkan di akhbar dan tv kebanyakkanya adalah berkisar
di kampung.
Namun tanpa disedari kemiskinan kini mula menular ke bandar-bandar. Kos
sara hidup yang semakin tinggi telah mewujudkan kelompok masayarakat
bandar yang miskin. Kehidupan di bandar-bandar memerlukan perbelanjaan
yang tinggi kerana semuanya tidak percuma dan perlukan bayaran. Bermula
sewa rumah, bayaran tol, bayaran kereta, bayaran bil air dan elektrik,
bayaran yuran sekolah, bayaran yuran kelas tambahan, bayaran insurans,
perbelanjaan sekolah anak-anak, perbelanjaan makan harian keluarga dan
perbelanjaan-perbelanjaan lain telah mewujudkan sekelompok masyarakat
yang memerlukan perhatian kerana mereka mungkin dikategorikan sebagai
miskin bandar.
Sebagai contoh A yang bekerja di sektor swasta berpendapatan RM4000
sebulan, mempunyai isteri yang tidak bekerja, ibubapa di kampung, sebuah
kereta proton saga, anak seramai 6 orang di mana 3 daripadanya sudah
bersekolah serta menyewa rumah di apartment Kerinci.
Berikut merupakan perbelanjaan beliau:
Sewa apartment RM 1000
Bayaran kereta RM500
Ibubapa RM200
Tol RM100
Yuran Sekolah Anak (3 orang) RM900
Bil Api Air RM100
Perbelanjaan Keluarga RM1500
Lain-lain RM500
JUMLAH RM4700
Ternyata dengan pendapatan sebanyak RM4000 sebulan adalah tidak
mencukupi untuk membiayai isteri yang tidak bekerja serta rumah sewa
yang perlu dibayar di samping membiayai anak yang bersekolah dan
lain-lain lagi. Inilah kehidupan sebenar. Mereka ini mungkin termasuk di
dalam kelompok miskin bandar. Berbanding mereka yang mempunyai
pendapatan yang sama tetapi tinggal di kawasan kampung, pendapatan ini
cukup besar dan mewah.
Sehubungan dengan itu, penetapan had kifayah perlu disemak dan ditambah
baik demi memastikan mereka yang miskin bandar turut dibantu. Had
kifayah ini pula bukan sahaja berpaksikan kepada pendapatan isirumah
semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira perbelanjaan sebenar isi
rumah. Ini adalah kerana pengiraan had kifayah berdasarkan perbelanjaan
sebenar isi rumah adalah lebih signifikan dan berkolerasi tinggi dengan
kemiskinan bandar.
No comments:
Post a Comment